Sudah enam bulan
berlalu.
Tak pernah ku
duga.
Dia berdiri di
hadapan mataku. Selama ini, dia cuma muncul di alam mimpi. Tapi, hari ini tidak
lagi. Sedang menantiku di parkir tempatku bekerja.
Aku baru saja habis lunch. Usai solat Zohor. Menerima sms ringkas darinya. Dah
berbulan lamanya tidak ada sebarang khabar berita. Tiba-tiba, hari ini menjelma
dengan tuannya sekali.
Katanya sudah di
tempat kerjaku. Nak jumpa. Penting.
Aku sedikit
gelisah. Namun, ku hayunkan jua langkahku mendekatinya. Hati sedikit berdebar.
Belum sempat ku sapanya, ku lihat ada manik-manik air mata telah menitis di
pipinya.
"Bawa aku
lari...tolong... Kita nikah!"
Suaranya serak
menahan sebak. Namun, mesejnya jelas.
Tergamam
seketika. Aku terus mengajaknya masuk ke dalam kereta. Mesej bos, keluar
seketika ada emergency. Ku hidupkan enjin kereta. Terus meluncur ke jalanan.
Entah ke mana arah hendak dituju. Aku sendiri pun tak pasti.
Yang berada di
sebelahku ini, statusnya bukan bujang. Tapi, isteri orang. Ya, bini orang.
Milik orang lain. Ada suami. Dah kahwin. Makna yang sama. Wanita ini, yang
dulunya pernah menjadi teman wanitaku. Aku teman lelaki terakhirnya sebelum dia
bernikah.
Kenapa bukan aku
yang jadi suaminya? Kenapa lelaki lain?
Alasan paling
konkrit manusia selalu sebut. 'Bukan jodoh. Tak ada jodoh.' Namun, cerita di
sebaliknya, cinta kami terhalang oleh keluarga. Bukan kerana aku tak baik.
Bukan kerana dia tak baik. Tapi, kerana keluarganya merasakan ada yang lebih
baik untuk anak mereka. Jika aku berada di tempat ibu dan bapanya sekalipun,
pasti enggan melepaskan anak sendiri nikah dengan lelaki yang tiada jaminan
hidup.
Aku hanya pekerja
kontrak. Senang cerita, tidak berjawatan tetap. Betapa besarnya erti jawatan
tetap dan berpencen pada mata ibu bapa zaman sekarang. Dulu pun. Jawatan tetap
tu bukan tak mampu dapat, tapi perlukan lagi beberapa tahun. Makan masa sikit.
Bukan tidak ada gaji. Tapi, gajiku tidaklah setaraf orang lain. Gaji yang cukup
makan untuk orang bujang saja. Untuk hidup berkeluarga, tidak sesuai. Bagi aku,
ada tapak untuk kerja itupun sudah cukup bersyukur.
Takdir
menemukanku dengan gadis ini. Ku sangkakan dia orang biasa sepertiku. Tapi,
saat pertama kali ke rumahnya untuk bertemu orang tuanya, terkejut. Pagar rumah
saja sudah melepasi kepalaku. Apatah lagi rumahnya yang seperti mahligai.
Malahan, baru ku tahu dia anak tunggal perempuan. Darjat kami berbeza. Cara
hidup berlainan. Status ibu bapaku dan ibu bapanya juga macam bumi dan langit.
Ibu bapaku cuma orang kampung. Ibu bapanya kerja kerajaan, bergaji besar.
Pada mulanya,
semua baik. Direstui keluarganya. Lalu, aku meminta tempoh. Supaya aku dapat
bersedia, kumpul duit nikah. Malahan, ibu bapaku merasa tebal muka untuk
bertandang ke rumah pihak perempuan dalam keadaan aku tidak bersedia dari segi
kewangan. Masakan mahu meminang anak dara orang dengan tangan kosong. Biasalah.
Ibu bapa mana yang tidak mementingkan maruah. Semua orang fikir tentang maruah
keluarga. Air muka yang perlu dijaga. Kaya dan miskin, sama saja.
Masa berlalu.
Berbulan-bulan. Namun, tabunganku tetap juga tidak banyak. Hingga aku mula
mengambil langkah berkira-kira untuk buat personal loan. Keluarganya mula
mendesak, agar dihantar rombongan dengan segera. Kata mereka, ramai yang nak
masuk meminang anak mereka. Aku mulai rasa tekanan yang hebat. Mana mahu cekup
duit beribu-ribu dalam masa singkat? Hingga saatnya aku betul-betul down.
Akhirnya, buntu jalan.
Tapi, apakan
daya. Tuhan penentu segalanya.
Di saat aku
kebuntuan, aku dikejutkan dengan berita yang memeritkan hati. Orang yang aku
sayang ditunangkan dengan lelaki lain! Tanpa dimaklum sedikit pun padaku. Aku
tahu-tahu, semua dah selesai. Aku tanya si dia, kenapa terima? Dia kata kerana
aku lambat, banyak sangat alasan nak bawa rombongan datang segera. Mak ayah dia
dah bising. Dia tertekan sama.
Kemuncaknya, mak
dia sendiri contact. Marah aku. Jangan hubungi lagi anaknya. Kata bondanya, dah
beri sejuta peluang, aku yang sia-siakan. Aku dan keluargaku yang salah. Semua
kesalahan dicampakkan ke mukaku. Semua penyesalan dilontarkan kepadaku.
Akhirnya aku
meniti hari-hari penuh luka hinggalah dia bernikah. Bukan orang lain, dengan
saudara-maranya sendiri. Hancur hatiku.
Segala kenangan
silam. Bagaikan baru berlaku semalam.
"Kau datang
dengan apa ni?"
Aku memulakan
perbualan.
"Naik
teksi."
Huh. Dari KL ke
Perak. Bukannya dekat.
"Apa dah
jadi sebenarnya?"
Dia
menangis-nangis.
"Aku tak
boleh hidup dengan suami. Aku tak boleh! Aku dah cuba banyak kali, tapi hati
ini. Hati ini sikit pun tak berjaya menyintai. Dari bulan pertama, sampailah
semalam. Aku gaduh besar semalam. Dia marah aku. Dia marah sebab tak rasa pun
aku cinta dia. Dah memang tak cinta, memanglah tak rasa. Aku tak mampu nak
berpura-pura lagi. Tak boleh!
Aku boleh sayang
dia sebagai suami, tapi tak boleh cinta. Sebab, cinta aku hanya untuk
kau!"
Dia menoleh ke
arahku. Dengan hamburan air mata.
Bagai tercabut
jantungku. Dah lama tidak ku dengar ungkapan keramat tu. Dalam hati bercampur
baur. Antara gembira dan sedih. Antara terluka dan teruja.
Ku pecut kereta.
Entah destinasi ke mana. Dah pun keluar dari daerah tempat ku kerja. Fikiran
tidak keruan seketika.
"Tapi, kau
lupakah, kau sendiri yang terima risikan keluarganya? Lupakah, kau sendiri yang
mengiyakan proses pertunangan? Lupakah, kau mengizinkan dan menerima sehingga
hari akad nikah?
Kau lupakah, aku
yang ketika itu sedang berusaha sedaya upaya untuk cari duit nikah kita, tapi
terima perkhabaran kau sudah dipinang orang, sampai pergi melutut depan kau.
Suruh terima aku kembali?
Kau lupakah,
sedikit pun tidak kau bersungguh untuk fight back demi cinta kita? Padahal
keputusan di tangan kau ketika itu. Kau yang nak kahwin, bukan keluarga kau!
Kau lupakah, aku
yang dimarah dan dihina oleh keluarga kau sebab terhegeh-hegeh nak kau balik?!
Memang aku ada
buat salah sampai kau berubah hati, tapi besar sangatkah salah tu sampai nak
hukum aku seberat-beratnya? Hukum dengan penyesalan seumur hidup? Hukum dengan
perpisahan selama-lamanya antara kita?"
Ah. Teruk. Aku
berkata-kata spontan penuh emosi. Air mata mengalir sendiri. Sudah terlalu lama
ianya membekam di hati. Marah dan geram bercampur baur.
Aku
memberhentikan kereta di tepi jalan. Berhampiran dengan taman tasik. Tak dapat
drive. Mata dah kabur diselangi air mata yang bergenang.
Aku dan dia
sama-sama menangis.
Aku keluar dari
kereta. Berjalan ke arah tasik. Dia menuruti langkahku. Bila betul-betul depan
tasik, aku berhenti.
"Aku
hantarkan kau balik ke rumah suami kau."
Dia menggelengkan
kepalanya.
"Tak nak!
Aku tak nak balik! Nak hidup dengan kau!"
Dia mencapai
tanganku. Aku tergamam. Perlahan-lahan, ku tarik lembut tanganku dari
genggamannya.
"Kisah
kita..dah berakhir…"
Dia tersentak.
“Kau dah ada
perempuan lain?!”
Aku menggeleng.
"Di saat kau
terima pinangannya dulu, kau dah campak aku jauh-jauh dari hidup kau sampai
bila-bila. Kau tahu tak, betapa sukarnya aku kena survive di kala kau
berbahagia dengan hidup baru?
Di saat kau
bergembira buat persiapan nikah, pilih baju nikah, tempah itu dan ini, aku pula
melawan hati rabak sendirian. Selama tiga bulan, tiada satu hari pun berlalu
tanpa air mata.
Aku cuba bangkit
kembali, tapi demi Allah aku tidak kuat. Tapi kerana Allah, aku harus kuat. Apa
yang aku buat, aku cari Dia. Selama kita bersama, aku alpa. Aku jauh dari Dia.
Akhirnya, air mata ini tumpah jua di sejadah. Tak mampu tuturkan sepatah
perkataan pun waktu berdoa. Sedih terlampau."
Dalam hati
mengakui, andai Tuhan tiada di sisi, aku dah lama mati. Andai ku gadaikan agama
ini, sudah lama iman ini mati. Pasti sudah lama aku bunuh diri. Kerana
kecundang patah hati!
Tuhan mengambil
sesuatu yang aku sayang, kerana Dia lebih tahu cerita masa depan. Dia lebih
tahu, apa yang diriku tidak tahu. Dia cuba meluruskan diri ini kembali.
Ku lihat dirinya
menangis dan menangis.
Tak lama di
tasik, aku mengajaknya ke suatu tempat. Drive kembali dalam keadaan dirinya
sugul dan isak tangis belum ada tanda mahu berhenti.
Sampai di satu
perumahan. Berhenti betul-betul dalam pagar sebuah rumah kecil.
"Ni, rumah
yang aku beli. Buat pinjaman bank. Yang aku cari untuk kita hidup bersama
dulu."
Dia sedikit
terkejut. Aku keluar dari kereta. Dia menurutiku. Ku buka pintu rumah yang
berkunci. Biarkan saja ia terbuka.
“Jangan risau,
aku tak masuk sama. Kau masuklah. Tengoklah sendiri. Aku tunggu di luar.”
Dia masuk rumahku
itu dengan berhati-hati. Langkah saja, sudah terlihat namaku dan namanya
disatukan dalam frame yang tergantung di ruang tamu. Hadiah-hadiah yang
diberikannya dulu, kemas tersimpan di meja ruang tamu.
Melangkah ke
bilik tidur. Di situ, telah siap katil pengantin. Tidak terusik. Namun, nampak
seperti dikemaskan setiap hari. Memang aku kemaskan bila ada masa. Di dinding
pula, tergantung sepasang baju tunang yang aku siapkan untuk diriku. Tidak ku
pakai. Di meja sebelah katil, ada sebuah diari. Yang aku tuliskan untuknya
selama aku bersamanya.
Dia membeleknya.
Helaian demi helaian. Air matanya gugur lagi. Tak sangka. Setiap apa yang dia
sebut, aku catatkan. Setiap bait katanya dulu, aku titipkan semula ke dalam
diari. Setiap harapan, setiap impian, setiap mesej hatta perbualan dalam
Whatsapp aku salinkan ke dalam diari. Sungguh. Diari itu adalah tempat aku
curahkan segala perasaanku kepadanya. Cuma, tiada berkesempatan untuk
diserahkan pada tuannya. Akhirnya, diari itu usang.
Di belakang kulit
diari, ada sepasang cincin tersemat. Cincin murah saja. Untuk pertunangan kami
kononnya dulu.
Dia berlari
keluar ke arahku. Dengan titisan air mata di pipinya. Nampak seperti ingin
memelukku. Lantas ku meminggir sedikit. Mengelak. Enggan.
“Aku minta maaf.
Hanya rumah kecil ini yang aku mampu sediakan untuk kau dulu. Ini pun, tak lama
lagi akan aku biarkan saja dilelong bank. Sebab, bila diingat dan dikenang,
semua ni buat aku sedih.
Mari, aku
hantarkan kau balik.”
Aku mengunci
pintu rumah, berjalan semula ke kereta. Namun, ditahannya aku dari masuk kereta.
“Kau dengarlah
dulu penjelasan aku. Please!”
Aku diam.
Berpeluk tubuh.
Dalam hati,
rapuh.
Aku lihat dia
bersungguh-sungguh. Aku lihat dia masih cantik seperti dulu. Sayang, bukan
milik aku.
“Siapa kata nikah
kerana suruhan keluarga, aturan famili ni boleh bahagia? Mungkin ada yang
bahagia, tapi tak semua! Ada saja yang tak bahagia.
Aku antaranya.
Aku mangsanya!
Orang kata, nikah
kerana taat kepada ibu bapa ni dapat restu keluarga. Berkat. Restu, restu dan
restu. Itulah yang orang pandai cakap.
Tapi, hati ni.
Hati ni tak restu dan tak reda pun! Kau faham tak?!
Meski jasad aku
ini milik suami, sah milik dia, tapi hati aku bukan padanya. Pada kau!
Sekarang, aku tak
nak dengar lagi tentang restu keluarga bagai semua tu. Tak nak! Aku dah lama
bosan dengar semua tu. Memang, masa aku terima dia tu, aku pertimbangkan maruah
keluarga. Aku pertimbangkan air muka orang tua aku dan orang tua suami aku. Aku
tak nak malukan mereka. Aku takut. Aku takut!
Kau tolonglah
faham. Aku cuma seorang perempuan yang lemah. Tanpa daya upaya untuk melawan
kehendak orang tua!”
Aku terdiam lama.
Angin petang
bertiup menerbangkan ekor-ekor rambutku. Lantas ku balas ringkas,
“Apa beza malu
ketika itu dan malu ketika ini? Kalau kau lari kepada aku, lari dari suami kau,
lari dari keluarga kau dan mentua kau…bukankah itu semua melibatkan maruah
semua orang? Malah, sudah pasti, hubungan kau dan aku seandainya mahu disambung
semula pun tidak akan direstui keluarga kau.”
Dia tertunduk.
Hilang hujah.
“Kau nak jadikan
aku watak antagonis lagi? Seperti dulu? Aku jadi watak jahat, watak ketiga yang
hadir di antara kau dan tunang kau ketika itu?”
Dia tak dapat
jawab. Menangis. Diam.
“Pulanglah
padanya..”
Kali ni nada
suaraku mulai mengendur. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku turutkan
kehendaknya, larikan saja. Namun, suara imanku masih mahu bersuara.
“Mungkin hari ini
kau tak cinta suami kau. Doalah. Moga suatu hari, mungkin setahun dua lagi, kau
akan terasa cinta pada suami kau. Kau belum dapat baby, kau masih terasa
bujang. Kau masih tak terasa hidup berkeluarga secara sempurna.
Nanti bila kau
dah hamil, kau akan nampak pengorbanan dan kebaikan hati suami kau. Dia ada
segalanya yang kau mahu dulu. Dia ada rupa, harta, darjat dan status. Kerjaya
yang lumayan. Dialah yang jadi menantu kesayangan parents kau. Hanya dia.
Dialah yang famili kau galaskan seluruh kepercayaan untuk jaga anak mereka.
Mereka tahu
mereka takkan hidup lama. Ya, mak dan ayah kau. Mereka dah tua. Sekeras apa pun
mereka, mereka tetap akan pergi jua suatu hari nanti. Mereka tahu mereka tak
berdaya jaga kau selama-lamanya, sebab itu mereka nak orang yang boleh jaga
anak mereka sama seperti jagaan mereka. Mereka letak harapan tinggi pada suami
kau. Untuk jaga dan sayang kau sepenuh hati.
Bukankah itu yang
suami kau tengah buat?
Hidup ini.
Perlukan pengorbanan. Waktu sebelum kau kahwin, kau dah korbankan aku dan cinta
kita. Sekarang, sekali lagi kau kena korbankan cinta kau pada aku. Aku juga
begitu.
Berkorbanlah
untuk suami dan keluarga kau.
Hidup ni terlalu
singkat untuk menikmati. Lepaskanlah aku dari hati kau. Letakkan Tuhan dalam
hati. Andai kau tak mampu menyintai sekalipun, lakukanlah kerana Dia. Berkat
datangnya dari keikhlasan pada Allah. Restu itu dari Ilahi.
Bukannya
keberkatan itu dengan taat membuta tuli pada arahan ibu bapa. Arahan ibu-bapa
kadang-kadang tidak berlandaskan agama pun. Ikut emosi dan nafsu semata. Unsur
paksa sepatutnya tiada pun dalam agama untuk sesuatu pernikahan. Namun, kau
maafkanlah mereka. Mereka cuma nakkan yang terbaik.
Benda dah
berlaku. Apa yang terjadi, biarkan terjadi.
Aku rela.
Korbankanlah aku sekali lagi. Korbankan kasih aku untuk Allah.”
Lutut aku dah
goyang. Jatuh terduduk depannya. Sukarnya meluahkan kata-kata yang aku sendiri
pun tak suka. Tak rela. Air mata menitis laju membasahi pipi. Bodohnya aku.
Dalam hati menjerit,
“Aku sayang kau
sangat-sangat, bodoh!
Mungkin aku
lelaki yang paling bongok dalam dunia ni, tapi part perasaan dekat kau, aku
paling tulus!”
Saat yang sama
hati mengakui,
"Mana bisa
diikat kaca pada permata. Mana mungkin kasih berlantaikan hati kita..."
Dia menangis
sama.
“Kalau aku ikut
cakap kau, aku dapat apa?”
Aku cuba berdiri
balik. Cuba ukir senyuman.
“Kau dapat masuk
Syurga. Kaulah isteri solehah.
Suami kau bukan
sezalim Firaun. Kau tak perlu jadi Asiah, tapi ambillah semangat Asiah untuk
hidup bersama dengan suami. Setia sampai akhir bersama. Tidak pernah sekali pun
dia tinggalkan Firaun. Itu suaminya. Seburuk-buruk manusia di muka bumi ini,
tetaplah suaminya. Pernah dia merasa dan melalui saat-saat gembira bersama. Sekeras-keras
Firaun, lembut hatinya untuk meraih Nabi Musa a.s. sebagai anak angkat yang
sama-sama disayangi. Saat dipaku Firaun hingga ajalnya, adalah sebagai seorang
isteri yang setia.
Ingat, sematkan
dalam hati. Tiada lelaki yang lebih baik dari suami kau. Hatta aku pun tidak
boleh jadi sebaik suami kau. Tiada lelaki lain. Tiada.”
Aku menyuruhnya
masuk ke dalam kereta. Hari dah lewat. Aku harus lekas menghantarnya pulang.
Perjalanan bukannya sejam dua.
Dalam kereta.
Kami banyak berdiam diri. Masing-masing memendam rasa. Setengah jam sebelum
sampai ke rumahnya, dia bertanyakanku.
“Cinta kita ini
bagaimana?”
Aku cuba senyum
lagi.
“Cinta ini bukan
milik kita. Milik Dia. Hati itu pun sama. Milik Dia. Serahkan balik cinta itu
pada Allah.
Cinta pada aku
ni, kau masukkanlah dalam botol, tutup kemas-kemas, campak saja ke laut. Jangan
berpaling lagi.”
Dia tanya lagi,
“Kalau aku sedih
juga?”
Aku senyum lagi.
“Tak perlu
bersedih lama. Cinta itu milik Allah. Allah lebih mengetahui segala.
Perancangan Dia lebih dulu dari kita. Dia tahu bila dalam hati kau akan pudar
rasa cinta. Dialah yang memudarkan rasa itu. Dia juga yang cambahkan rasa cinta
kau pada suami kau nanti. Semuanya kerja Dia.
Hari ini mungkin
kau berjalan dengan tidak cermat dan tidak berhati-hati. Kau tersilap langkah
sehingga buat keputusan terburu-buru seperti hari ini. Hari ini dan esok,
waspadalah jangan terpijak atau memijak onak dan duri. Jangan kau kutip lagi
serpihan kaca. Buka mata, buka mata hati, guna iman dan takwa. Akhirnya, 'kan
kau jumpakan permata.
Permata kau
adalah suami kau. Serpihan kaca adalah aku.”
Sampai ke
destinasi. Aku menurunkannya jauh sedikit dari rumahnya. Besar rumahnya. Tak
seperti rumahku.
Dia berlalu
meninggalkan aku. Ucap salam terakhir padaku. Mungkin, kami tidak akan bertemu
lagi sampai bila-bila. Ah. Bagiku, perpisahan yang sebenar bukanlah ketika di
dunia. Bukan ketika manusia itu mati. Bukan juga ketika manusia itu dihidupkan
kembali. Tetapi, perpisahan sebenar ketika dua manusia yang menyintai itu
berpisah ke dua cabang. Seorang ke Syurga, seorang ke Neraka. Itulah perpisahan
yang paling menyayat hati.
Dalam hati bagai
tertusuk sembilu. Pedih gila.
Berlagak cool di
luar tidak mampu menyembunyikan rasa sakit dalam hati. Soalan terakhir sebelum
dia keluar kereta tadi,
“Bagaimana kau
boleh jadi sangat tabah? Tanpa aku?”
Aku cuma
tersenyum. Tak jawab soalan tu. Tabah aku kerana Tuhan. Rebah aku kerana aku.
Ku pecutkan
kereta merentas lebuhraya. Sudah malam. Air mata berderaian. Lepaskannya kerana
terpaksa.
Air mata yang
bertakung menyulitkan pandangan mataku. Dadaku terasa sakit.
Entah bila,
keretaku tergelincir ke lorong yang salah. Melawan arus kenderaan bertali arus.
Hon kuat dibunyikan. Bunyi brek tahap maksima. Ku lihat cahaya lampu tinggi
dipancarkan ke keretaku.
Silau...
......
..
.
No comments:
Post a Comment
common!