ARKIB : 07/06/2014
Reunion musnahkan rumah tangga kami
Sembang-sembang
Tidak semua pertemuan semula (reunion) menggembirakan. Ada juga yang membawa derita dan memutuskan ikatan perkahwinan. Namun jika itu takdir Allah, apa lagi yang mampu dilakukan, terimalah dengan reda dan mohon Allah beri petunjuk agar hidup lebih bermakna.
Tidak dinafikan reunion menjadi fenomena pada masa ini. Di mana-mana sahaja orang bercakap tentang reunion, tidak kiralah sama ada dengan kawan sekolah, jiran, universiti atau pejabat.
Memang ada baiknya reunion, sekurang-kurangnya ia dapat menemukan rakan-rakan yang sudah berpuluh-puluh tahun tidak ditemui dan mengeratkan silaturahim. Tetapi reunion juga boleh memusnahkan sebuah perhubungan.
Inilah kisah yang saya paparkan minggu ini, kisah reunion yang meninggalkan titik hitam dalam hidup Nora (bukan nama sebenar) dan pasangannya Nasri (bukan nama sebenar).
Mahu tidak mahu Nora terpaksa menerima kenyataan yang suaminya kini telah kembali kepada bekas kekasih lamanya setelah menghadiri majlis reunion bekas pelajar universiti tempat mereka belajar.
Ingin tahu lebih lanjut, ikuti kisah Nora.
"Saya telah bernikah dengan Nasri sejak lapan tahun lalu setelah setahun bercinta. Pertemuan semasa menghadiri satu seminar anjuran tempat kerja menemukan saya dan dia. Kami dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga tahun.
"Saya bekerja di sebuah syarikat swasta dan suami penjawat awam. Sepanjang lapan tahun, tidak ada masalah yang berlaku dalam hubungan kami. Nasri seorang suami yang baik dan penyayang.
"Setiap tahun, kami selalu melancong ke luar negara dan juga menghabiskan masa bercuti dalam negara bila ada kelapangan. Pendek kata keharmonian rumah tangga kami sangat menyerlah.
"Sehinggalah hujung tahun lalu, kebahagiaan itu tergugat apabila suami bertemu semua dengan bekas kekasihnya pada zaman universiti dahulu. Ini semua gara-gara reunion rakan universiti yang dihadirinya.
"Saya tak kisah suami mahu ke majlis itu sebab saya percaya dengan kesetiaannya. Sebelum ini, saya tidak pernah cemburu atau buruk sangka dengan suami, sebab tahu dia ikhlas dalam perhubungan kami.
"Selesai majlis itu, saya nampak perubahan dalam dirinya. Tingkah laku, tutur kata dan sikapnya jauh berbeza berbanding sebelum ini. Dia tidak berenggang dengan telefon bimbitnya. Setiap saat, telefon bimbit ada dalam genggamannya terutama pada waktu malam.
"Di rumah pun sama, dia tidak pernah letak telefon. Ke mana sahaja pergi mesti dipegangnya telefon. Kalau anak kami nak pinjam main game, dia akan marah-marah. Sebelum ini, suami tidak pernah meninggikan suara dengan anak.
"Pada hujung minggu, dia selalu menghabiskan masa di luar. Tidak seperti biasa membawa saya dan anak keluar bersiar-siar atau makan-makan. Jika tidak pun menemani saya dan anak di rumah.
"Tidak cukup dengan keluar di hujung minggu, dia mula out station, kononnya untuk berjumpa kawan-kawan lama selepas reunion tersebut. Itu pun saya masih tidak syak apa-apa sebab masih percayakan dia.
"Satu hari, dia memberitahu saya untuk out station selama tiga hari. Alasannya untuk menghadiri majlis perkahwinan salah seorang stafnya. Saya tidak tanya banyak kerana saya tahu dia tidak bohong, malah saya tidak nampak tanda-tanda dia berbohong dengan saya.
"Sehinggalah semua rahsianya terbongkar, tiga bulan kemudian apabila saya terjumpa resit sewa hotel di dalam beg pakaiannya. Berderau darah saya melihat resit tersebut, makan minum untuk dua orang dan resit pembelian di sebuah kompleks membeli-belah di luar negara.
"Sehari suntuk saya menangis dan hati berdebar-debar. Perasaan saya mula tidak tenang. Saya mula syak yang bukan-bukan dan berdoa semoga apa yang saya syak tidak akan menjadi kenyataan.
"Tapi Tuhan tahu apa yang ingin diujinya untuk saya. Melalui seorang teman pejabat, saya dimaklumkan yang suami saya sudah bernikah lagi dengan kekasih lamanya di seberang.
"Lalu saya teringat permintaan dia untuk out station tiga bulan lalu. Saya yakin itulah masanya dia bernikah dengan kekasih lamanya itu. Saya tidak menangis. Saya tidak mahu jadi bodoh memikirkan kecurangan seorang lelaki bernama suami.
"Saya mahu buat penyelesaian dengan lelaki yang kononnya setia kepada saya tetapi beralih kasih.
"Mencari masa yang sesuai, saya bersemuka dengan suami. Saya tunjukkan sekali resit hotel dan pembelian yang saya jumpa. Juga saya beritahu dia yang rahsianya sudah terbongkar.
"Tanpa rasa sedih, saya ucap selamat pengantin baru kepadanya. Tanpa memberi dia peluang untuk bercakap, saya sudahkan kata-kata saya dengan, "saya nak abang bebaskan saya!"
Berulang kali saya sebut perkara itu.
"Saya tidak mahu lagi memberi dia peluang. Sekali kepercayaan saya hilang, saya tidak akan memberi peluang kedua kepadanya. Saya kecewa dan kesal dengan perbuatannya.
"Melihat saya menyerangnya bertubi-tubi, dia akhirnya mengalah. Dia mula berterus-terang dengan saya, menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Dia mengaku telah menikahi perempuan itu secara rahsia di negara jiran.
"Kononnya, dia menerima perempuan itu kerana kasihan sebab sampai sekarang dia belum berkahwin kerana kecewa ditinggalkan dahulu.
Mudahnya lelaki menyusun kata.
"Dalam sekelip mata, dia terlupa kepada saya yang sudah lapan tahun berkorban untuknya. Menjaga makan, pakai, sakit demamnya. Hanya kerana jumpa semula bekas kekasih, sanggup dia bernikah lagi.
" Saya ralat kerana dia bertindak tanpa meminta izin saya, ajak saya berbincang sedangkan saya tahu, perbuatannya itu dalam keadaan tidak sedar sebab terkejut dengan kehadiran semula wanita itu dalam hidupnya. Mudah sungguh bagi lelaki.
"Apa pun semuanya sudah terlambat. Hati saya sudah terluka, pedih dan tidak mungkin akan terubat lagi. Saya kecewa yang amat sangat. Saya tidak mahu lagi hidup bersamanya kerana kecurangannya itu.
"Saya tidak menolak takdir. Saya reda tetapi saya kecewa dengan perbuatannya yang tidak berfikir panjang dan tidak mempedulikan perasaan saya sebagai isteri.
"Sanggup pula berbohong untuk menghadiri majlis perkahwinan staf, sedangkan dia sendiri yang bernikah. Perlukah lagi saya menghormatinya sebagai suami setelah apa yang dia lakukan ini?
"Keluarga menentang keras keputusan saya terutama sebelah mentua. Tetapi saya nekad. Saya ada hak saya sendiri sebagai isteri. Saya tidak mahu selama-lamanya diperbodohkan. Jika dia sanggup menipu saya untuk bernikah lagi, tidak mustahil sepanjang perkahwinan kami nanti dia akan berbohong lagi untuk menyelamatkan dirinya untuk berpoligami.
"Walaupun saya sedih sebab anak terpaksa hilang kasih sayang ayah untuk tinggal sebumbung tetapi saya berjanji akan menjaga anak saya dengan sebaik-baik mungkin. Saya tidak kisah untuk berbaik-baik dengan dia demi anak.
"Saya harap permohonan saya untuk berpisah diterima. Saya tidak mahu lagi hidup bersamanya. Hati saya telah hancur dan jiwa saya telah lama hilang lenyap bersama kepercayaan saya kepadanya.
"Saya minta maaf kepada keluarga kerana tidak menerima nasihat mereka. Saya tahu apa yang terbaik untuk masa depan saya. Orang hanya memandang, yang menanggungnya saya. Saya benar-benar terluka hati. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ini.
"Saya nasihatkan para isteri di luar sana, hati-hati apabila suami anda menghadiri majlis reunion. Jika diajak, jangan lupa ikut sama. Jangan biarkan mereka pergi seorang diri. Banyak drama yang akan berlaku dalam majlis itu terutama apabila bertemu semula dengan rakan lama yang satu ketika pernah singgah di hati mereka.
"Semoga Allah lindungi saya dan anak untuk hari-hari mendatang dengan rahmat dan nikmatnya di dunia dan akhirat. Amin. Nora menamatkan ceritanya.
Saya turut simpati dengan apa yang Nora lalui. Memang betul apa yang Nora katakan, sekali terguris hati selamanya hati akan tercalar. Siapa yang pernah melaluinya akan merasa peritnya apabila suami diambil orang.
Saya ucap syabas dan tahniah kepada Nora kerana berani bersemuka dengan suaminya secara berhemah. Jarang isteri bersikap terbuka tentang perkara orang ketiga dalam rumah tangga. Namun, Nora mengambil pendekatan berbeza setelah mendapatkan bukti-bukti yang sah.
Saya setuju dengan Nora bahawa reunion jika tidak digunakan dengan cara betul akan membawa masalah. Seelok-eloknya bawa pasangan masing-masing untuk dikenalkan kepada rakan-rakan lama agar tidak timbul perkara negatif di kemudian hari.
Apa pun semuanya terpulang kepada hati. Tepuk dada tanya selera. Jika nawaitu kita positif, maka akan positif juga akhirnya tetapi jika sebaliknya, hanya Allah jadi penentu.
Semoga Nora dan anaknya sentiasa dalam rahmat Allah dan tabah menghadapi hidup.
Menamatkan coretan, pesanan saya, jangan berputus asa dengan apa yang hilang daripadamu dan jangan terlalu bahagia dengan apa yang bakal datang kepadamu kerana segala-galanya hanya sementara.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140607/ke_02/Reunion-musnahkan-rumah-tangga-kami#ixzz3481YnaRV
© Utusan Melayu (M) Bhd
.................................................................................................................................................................
Suka dengan satu komentar berdasarkan artikel ini yang berbunyi: Ini akibatnya melanggar batas syariat Islam dengan bercinta sebelum masanya. Bila cinta bukan diletakkan pada yang maha Esa dan pd yang sah, masalah ini takkan selesai sampai bila-bila walaupun tiada reunion. Oleh itu, bataskan pergaulan antara lelaki dan perempuan, yang berkahwin lebih-lebih lagi perlu jaga batasan kerana ada tanggungjawab besar yang sedang digalas.
Reunion itu tidak salah.... tapi..... Haaaa.. heheheh
Semalam aku terbaca artikel atau berita ini. Hal ini memberi kesan
mendalam juga kepadaku. Lumrah perempuan yang azalinya dicipta dengan rasa
cemburu. Namun, bukan itu masalah besarnya. Semuanya berpunca dari akar umbi
yang memulakan sesuatu yang salah di sisi agama. Ya, aku setuju dengan komen
salah seorang komentar di FB. Sepatutnya tiada istilah EX, bekas dan masa
silam. Semua itu yakni hubungan cinta sebelum nikah harus dihindari sebaiknya
agar masa hadapan dapat dijalankan dengan bersih dan aman. Namun, sudah
dinamakan hidup, sememangnya penuh dengan ujian meskipun kita tidak mempunyai
bekas kekasih. Godaan syaithan itu sentiasa ada. Astaghfirullaha'azim... Ya
Allah, sesungguhnya aku ialah hamba-Mu yang hina.
Jauh di sudut hati, kendatipun takut untuk menghadapi
ujian-ujian mendatang sama ada berstatus bujang, kahwin atau berkeluarga, aku
menyimpan impian untuk jadi yang terbaik dan mencapai nikmat hidup dunia
akhirat yang baik. Dalam masa yang sama, kebaikan itu harapnya mendapat respon,
balas dan tindakan yang baik juga daripada orang sekeliling terutamanya orang
yang aku sandarkan harapan dan kongsikan cinta. Semoga Allah mengampunkan
dosa-dosa silam, dosa-dosa kini dan selamanya. Tuhan, berikanlah aku zuriat
yang soleh dan solehah untukku dan zaujjku kelak. Jadikanlah mereka lebih baik
daripada kami. Aku tahu, segala dosa-dosaku ada balasnya, kifarahnya di dunia.
Ampunkanlah kami ya Allah. Tuhan, berikanlah pengakhiran yang baik untuk kami.
Mekarkanlah cintaku hingga bersua dengan-Mu.
Maaf saya tak berminat chat dgn lelaki terutama yg saya tak kenal... Kalau yg kenal pun hanya bertegur sapa mengikut keperluan yg diizinkan sahaja... Saya tak suka dan tak minat kenal lelaki melalui cara tersebut atau yg sewaktu dgnnya.. Saya malas.. Saya sangat2 bimbang kalau saya tetiba rajin melayan.. jadi saya lebih selesa jadi MALAS macam ni untuk perkara tersebut... Bukanlah saya ni seorang yg BAGUS sgt tp tak salahkan andainya kita cuba untuk menjadi lebih BAIK dari sebelumnya? Elakkan dari ulang perkara yg dianggap biasa pada zaman sekarang? Tak nak tambah dosa yg dah sedia menggunung? Bolehkan?
Ya Allah tolong JAUHKAN, ELAKKAN, HINDARKAN aku dari melakukan perkara yg bertentangan hukumMU.. Janganlah Engkau campakkan aku ke dalam lubuk kebinasaan setelah Engkau sinari hatiku dgn HIDAYAHMU dan semaikan dlm hatiku benci kepada sesuatu yg membawa MURKAMU.. Tolong jangan biarkan aku jatuh Ya Allah...
Sahabat, tolong ingatkan jika saya terlupa.. tolong hulur tangan andai saya hampir terjatuh.. tolong muhasabah saya andai mujahadah makin menjauh..
No comments:
Post a Comment
common!