Sunday, February 23, 2014

Diam lebih baik...

Suka sekali apabila pesanan ringkas dikirim dan dihantar dahulu oleh tunang. Sekurang-kurangnya aku tahu perkembangan hidupnya yang jauh di sana. Namun, ada kalanya rasa takut untuk bermesej kerana dengan bermesej macam-macam hal boleh dijadikan bualan yang kekadang menimbulkan pertelingkahan. Aku takut, trauma dan muak untuk bergaduh. Diam lebih baik. Aku akan ambil tindakan dengan berdiam selepas ini. Aku malas mahu melayan perasaan yang boleh menyebabkan emosi sihat yang aku perlukan untuk bekerja terganggu. Sesunggunya nikmat otak, emosi sihat itu nikmat yang tak terhingga.

Di sekolah... malam ini seperti kelaziman berlatih bahasa bersama anak-anak. Moga mereka mampu memperbaiki kelemahan dan semakin petah bercakap dengan spontan diiringi hujah-hujah yang bernas, padat dan sentap. Moga mereka mampu melakukan yang terbaik. Begitu juga anak-anakku yang menduduki peperiksaan hari ini. Moga mereka dilembutkan hati untuk menjadi anak yang baik,  pandai menghormati orang, berakhlak baik dan jauh daripada sifat mazmumah. Moga kasih sayang antara kami bertaut dan kami mampu bersatu mencapai misi untuk berjaya dunia akhirat bersama, Aamin. ..

Hari ini, aku perasan akan sesuatu. Meskipun aku jarang membuka FB yang aku buat untuk ibu bapaku itu, aku selalu juga melihat dan meninjau-ninjau FB tunangku meskipun tidak boleh lihat semuanya. Aku mampu lihat siapa yang menambah dirinya menjadi rakan. Alangkah terkejutnya aku, muka yang sama yang sudah dinyah menjadi rakan muncul kembali untuk menjadi rakan. Meluatnya rasa. Namun, apa dayaku untuk menghalang. Diam sahaja lebih baik kendatipun dalam hati Tuhan sahaja yang tahu. Mengapa dia perlu muncul lagi. Tidak cukupkah kehadiran suami itu menyerikan hidupnya. Kehadirannya di muka buku yang tidak segan silu berkomen, menghantar pesanan kepada tunangku dahulu menyebabkan aku terasa hati. Rasa mahu sahaja aku membalas komennya, tapi aku akan dimarah oleh pojan kelak. Aku tidak berhak untuk membalas komen orang dengan rasa yang pedas mungkin, tidak berhak untuk cemburu. Lebih baik Tuhan matikan saja rasa yang ada dalam hatiku biar tiada rasa-rasa yang tertinggal. Kalau ikutkan hati mati. Mahu sahaja aku layangkan warkah kepada suaminya segala perilakunya kalau ikutkan akal syaitanku. Biarlah Tuhan sahaja yang menjalankan tugas-Nya. Siapalah aku yang hanya setakat bernama HAMBA.

Buat apa lagi mengejar-ngejar orang yang sudah tidak memberi manfaat dan tiada erti serta tidak perlu untuk kita. Berkawan? Ramai lagi yang boleh dijadikan kawan dan sebaiknya berkawanlah dengan sejantina. Jagalah rumah tangga sendiri. Kalaulah berkawan, tidak menyakitkan hati orang tidaklah mengapa. Kalaulah kehadirannya tidak menyakitkan hati, tidaklah aku kisah sangat. Namun, kehadirannya selalu mengganggu gugat ketenangan hati dan perasaanku dengan komennya yang entah apa-apa. Sabar. Aku tidak kisah kelak kiranya aku dan tunangku berjodoh, dia ingin menjemput kawan-kawannya termasuk kisah lamanya yang tidak menyenangkan itu… Namun, janganlah mereka itu menjadi penyibuk dalam laman sosial yang tidak tahu sialnya sampai ke mana.. Sampai aku mati kali. Ingin sahaja aku nyahkan orang sebegitu. Mungkin tunangku rasa tidak salahnya dia berkawan sebab bukan hati dia yang sakit. Mungkin juga dia merasa asyik memikirkan tentang hati sahaja. Baik, kalau dia boleh terima kemunculan dan melayan kekasih lamanya itu, aku juga akan tidak segan silu melayan sesiapa sahaja yang mahu hadir dalam hidupku walaupun aku bukan begitu. Maluku besar.. Kadang-kadang merasa sakit bisa menjadikan kita bukan diri kita. Hidup aku sudah tidak ada hubungan langsung dengan kisah-kisah lamaku dahulu. Aku ialah aku yang sekarang dan tidak mahu tahu langsung dan ada kaitan dengan orang yang pernah hadir dalam hidup aku dulu.


Biarlah mereka senang dan bahagia dengan hidup mereka yang sekarang dan buat apa kita terhegeh-hegeh mahu menunjuk diri dan turut serta dalam hidup mereka? Suka hatilah orang dengan cara dan gaya mereka. Mereka belum merasa seperti yang kita rasa. Kifarah Allah itu ada. Dan rasa sakit yang selalu aku rasa ini mungkin juga disebabkan dosa-dosa aku sendiri. Bersangka baik kepada Allah. Semuanya ada hikmah-Nya. Mengapa kita tidak mengelak sebelum berlakunya masalah? Namun, kita selalu membuat keputusan yang salah, kemudian mendatangkan masalah untuk diri sendiri dan kemudian baru menyesal... tiada gunanya kalau sudah terlambat... Aku cuma mampu berdoa dan berharap agar tunangku tidak mengendahkan hal-hal yang tidak penting dan tidak perlu di sekelilingnya, begitu juga aku. Moga  ikatan yang sudah melangkah satu tahap ke hadapan ini terjaga dan terus mekar ke ijab kabul. Aaminnn... ya Tuhan, kuatkan aku! Kebalkanlah hatiku. Jauhilah aku daripada rasa putus asa dan jauhi aku daripada rasa berduka, sedih, terluka dan tersiksa...aaminn.. bahagiakanlah orang-orang di sekelilingku ya Allah khususnya kedua ibu bapaku. Berikanlah kesihatan yang baik untuk mak bapakku ya Robb, sesungguhnya merekalah nadiku. Sembuhkan kesakitan makbapak, bahagiakanlah mereka, berikanlah jiwa dan hati yang senang dan bahagia buat mereka. Kasihanilah mak dan bapakku ya Allah. Aaminnnn :”(

No comments:

Post a Comment

common!